SHAH ALAM: Pakar forensik, Cif Inspektor Mazli Jusoh @ Che Kob tidak dapat menahan sebak sebak semasa memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini Khamis, mengenai kedudukan mayat remaja, AminulRasyid Amzah yang didakwa mati kerana ditembak oleh seorang anggota polis.
Nada suara Pegawai Penyiasat di Tempat Kejadian, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor itu mulai tersekat-sekat semasa beliau diminta memberi penjelasan terhadap tindakannya mengalihkan mayat.
“Mayat berada dalam keadaan muka tersembam pada tempat duduk pemandu. Pada masa itu keadaan mayat dalam keadaan yang sangat menyedihkan.
“Saya letakkan mayat dalam keadaan yang lebih baik kerana siasatan akan memakan masa yang lama. Saya tidak mahu mayat dalam keadaan begitu sehingga selesaikan siasatan,” katanya sambil mengesat air mata.
Mazli, 32, yang cuba mengawal nada suaranya bagaimanapun memohon kepada Hakim Latifah Mohd Tohar supaya perbicaraan ditangguhkan sebentar bagi membolehkan beliau menenangkan diri.
Saksi pendakwaan ke-25 itu terdahulu memberitahu, beliau membaringkan mayat di kawasan berumput selepas mendapati mayat itu berada dalam keadaan muka tersembam di kerusi manakala badannya terkeluar dari pintu kereta.
Tambahan pula, beliau yang ditaklimatkan oleh Asisten Superintendan Ahmad Fauzi Mohamed Zin bahawa mayat tersebut telah disentuh oleh anggota unit peronda dan diperiksa oleh pihak ambulans yang dipanggil terlebih dahulu.
“Saya dapati mayat adalah seorang lelaki Melayu berusia belasan tahun. Saya cuba memeriksa identiti mayat tetapi tidak jumpa,” katanya.
Mazli yang disoal pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar menambah, tiada cukai jalan dipamerkan pada cermin hadapan kereta Proton Iswara BET 5023 tersebut.
Berhubung parang yang dijumpai di dalam kereta, saksi berkata parang itu berada di kawasan tempat letak kaki penumpang hadapan dan kelihatan tidak digunakan untuk jangka masa yang lama.
Berdasarkan kedudukan kereta, Mazli membuat kesimpulan bahawa kereta dalam keadaan laju dan terlanggar pokok menyebabkan ia berubah arah ke arah tembok rumah lalu melanggar tong sampah di depan rumah.
Saksi juga memberi penjelasan mengenai kelewatan dua hari yang berlaku dalam mengambil gambar tanah tempat kejadian dan kelonsong peluru yang hanya dibuat pada 28 April lalu.
“Pada masa kejadian, saya dimaklumkan isu kes ialah anggota polis menembak mati seorang remaja yang dikatakan cuba untuk melanggar anggota polis dengan cara menggundurkan kereta. Jadi saya lebih menumpukan kepada bahagian belakang kereta yang ditembak” katanya.
Tambah saksi, pemeriksaan untuk mencari kelongsong dan anak peluru di sepanjang Bulatan Kayangan (dikatakan tempat bermula kejadian menembak) juga diterima pada 28 April.
“Pemeriksaan dilakukan untuk mengetahui dari mana tembakan dilepaskan memandangkan terdapat dua anggota yang telah lepaskan tembakan,” katanya.
Mazli menambah, cara pemeriksaan juga berbeza juga digunakan bagi mencari kelongsong peluru memandangkan bulatan tersebut merupakan jalan utama menyebabkan ia agak sibuk.
“Saya buat pemeriksaan dengan berjalan, dan apabila ada anggota jumpa kelongsong atau anak peluru, saya akan tanda, rakam gambar dan terus dikutip. Hasil pemeriksaan, saya menjumpai 15 kelongsong dan dua anak peluru,” katanya.
Setelah hampir seharian memberi keterangan dari kandang saksi, pada pukul 4.30 petang meminta kebenaran daripada Latifah untuk memberi keterangan secara berdiri bagi memudahkan beliau membuka sampul barang-barang kes yang dikumpulnya.
Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 48, dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Perbicaraan akan bersambung pada 22 November depan. mStar Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan