Selamatkan Malaysia

Selamatkan Malaysia

"Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam,menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama" Petikan Daripada Kitab Fikhul Jihad Karangan Prof.Dr.Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi

Pengikut


Rabu, 6 Januari 2010

Curi enjin: Sarjan, ahli perniagaan mengaku tidak bersalah

PETALING JAYA 6 Jan. - Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas tuduhan bersubahat mencuri serta melupuskan dua enjin jet pejuang F-5E milik TUDM.

Sarjan N. Tharmendran, 42, dan K. Rajandra Prasad, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Kanan Mohamad Shukri Mohamad Yusop untuk mencuri dua buah enjin pesawat F5 jenis J85-21 yang ketika itu berada di dalam bangunan Material Processing Shed, MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM, Sungai Besi di ibu negara.

Tertuduh yang masih bertugas di Pangkalan Udara Subang didakwa melakukan perbuatan itu sekitar bulan Disember 2007 di Air Movement Section, Pangkalan Udara TUDM Subang.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Rajandra yang merupakan pengarah sebuah syarikat pembekalan didakwa menolong melupuskan dua buah enjin pesawat tersebut pada 30 April 2008 di No. 49, Jalan TS 6/6, Taman Industri Subang, Selangor.

Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran dan dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir dan Hamidi Mohd. Noh.

Tharmendran diwakili peguam bela, V. Ravichandran manakala Rajandra diwakili peguam, Pritam Singh Doal.

Raja Rozela ketika mencadangkan wang jaminan RM200,000 bagi setiap tertuduh memohon agar mahkamah mengambil kira bahawa barang yang dicuri adalah sebuah enjin jet pejuang.

"Yang dicuri bukanlah enjin motosikal tetapi enjin pesawat pejuang. Harap mahkamah mengambil kira perkara ini ketika menetapkan wang ikat jamin," katanya.

Laporan akhbar sebelum ini melaporkan kedua-dua enjin tersebut bernilai RM100 juta.

Bagaimanapun Ravichandran menyatakan nilai enjin tersebut tidak boleh dijadikan faktor dalam menetapkan jumlah jaminan lebih-lebih lagi enjin yang terlibat merupakan enjin lama.

Pritam turut menyatakan, anak guamnya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa malah pasport antarabangsa juga telah diserahkan.

Kedua-dua peguam tersebut memohon agar jaminan RM10,000 ditetapkan bagi anak guam masing-masing.

Aslam selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua pihak menetapkan wang ikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Hakim turut membenarkan permohonan pendakwa agar kedua-dua tertuduh dibicarakan bersama. Kes akan disebut semula pada 11 Februari ini.

Terdahulu, ketika kedua-dua tertuduh dibawa masuk ke lokap mahkamah, berlaku sedikit kekecohan di antara jurugambar akhbar Sin Chew Daily, Tam Siong Yein dan beberapa lelaki dipercayai ahli keluarga Rajandra.

Seorang daripada ahli keluarga tertuduh itu bertindak kasar dengan menarik tangan dan lengan jurugambar wanita itu bagi menghalangnya daripada terus mengambil gambar Rajandra.

Menurut laporan akhbar, dua enjin pesawat F-5E yang berpangkalan di Skuadron 12 Scorpion Butterworth, Pulau Pinang dilaporkan hilang ketika proses penyenggaraan rutin di ibu negara pada Jun dan November 2007.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada sidang media Isnin lalu menyatakan, pada 4 Mei 2008, enjin-enjin tersebut yang diletakkan dalam kontena khas dibawa keluar dengan sebuah kapal dan dikesan berlepas ke Argentina sebelum dipindahkan ke Uruguay.

Abdul Gani berkata, hasil siasatan menunjukkan tiada pegawai tinggi tentera terlibat sebaliknya ia hanya membabitkan kakitangan peringkat bawahan.


komen:Nak mengaku pasai pa lak kalau dah x salah,depa ingat org awan bodoh ka nak percaya bulat2 yang depa 2 ekoq ni jadi Master Mind kejadian tersebut,Ghapla punya gani patail ni,pi ceta kat orang asli boleh la.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan